Monday, August 26, 2013

Noorshila Amin Melecur Separuh Badan Disambar Gas Bocor

 Antara kesan melecur pada tangan dan wajah Noorshila.



PETALING JAYA: Hampir seluruh bahagian kiri tubuh penyanyi Noorshila Amin disambar api berpunca daripada tong gas terbocor di kediaman anak sulungnya, Nurrul Admiena Norrizan di Kepong pada Sabtu lalu.

Noorshila, 49, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu membuatkan anggota kiri badannya termasuklah wajah, tangan dan kaki melecur.

"Ketika itu saya sibuk nak masak rendang bersempena dengan majlis rumah terbuka di rumah Admiena dan tidak sedar pula yang tong gas terbocor.

"Tiba-tiba sahaja ketika mahu mencapai barang masakan yang berdekatan dengan tong gas itu, api terus menyambar sehingga membuatkan muka dan badan saya melecur," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.

Tambah Noorshila, dia terus ke sebuah klinik di Selayang bagi mendapatkan rawatan dan kejadian itu juga membuatkan dia terpaksa membatalkan undangan persembahan yang diadakan pada sebelah malamnya (hari yang sama).



Noorshila Amin.

Ditanya bagaimana keadaannya sekarang, Noorshila masih lagi sukar untuk menggerakkan bibirnya namun mengambil sikap positif dengan melakukan aktiviti harian dan bercakap seperti biasa.

"Kalau nak ikutkan memang rasa sakit sangat terutama pada bahagian bibir dan wajah yang semakin tegang gara-gara melecur. Malah kening saya pun dah tidak ada.

"Apa-apapun saya menunggu wajah ini sembuh dahulu sebelum mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan saya yang merupakan seorang pakar kecantikan," ujarnya.

Sementara itu, Noorshila berkata, kejadian yang telah berlaku memberikan pengajaran yang besar buatnya agar sentiasa berhati-hati dengan memeriksa tong gas dahulu sebelum memasak.

"Kita memang perlu berhati-hati dengan setiap perkara yang ingin dilakukan, termasuklah memeriksa tong gas sebelum memasak.

"Selain itu, ia juga sedikit sebanyak menginsafkan diri saya yang dapat merasai derita orang lain yang ada diantaranya, tubuh badan mereka terbakar lebih teruk daripada apa yang berlaku pada diri saya.

"Mujurlah api yang disambar tidak terlalu kuat. Kalau tidak, saya pun tak tahu apa akan jadi," ujarnya.

Dalam pada itu dia juga bersyukur kerana tidak berasa trauma dan hanya menjalankan rutin hariannya seperti biasa

Selain Admiena, 29, Noorshila turut mempunyai tiga orang anak iaitu Nurrul Nadia, 27, Mohd. Daniel Durrany, 20, dan Mohd. Banni Basyishar, 18.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Gambar-Gambar Dan Senarai Pemenang MTV Video Music Awards 2013

 
Persembahan Katy Perry tetap memukau penonton.



 Taylor Swift sedang memberi ucapan bersama-sama Daft Punk, Pharrell Williams dan Nile Rodgers.



Niall Horan, Louis Tomlinson, Liam Payne, Zayn Malick dan Harry Styles dari kumpulan 'One Direction'.




Aksi Miley Cyrus dan Robin Thicke semasa membuat persembahan di 2013 MTV Video Music Awards di Barclays Center.


Persembahan hebat Justin Timberlake bersama Chris Kirkpatrick, Joey Fatone, JC Chasez and Lance Bass of 'N Sync di 2013 MTV Video Music yang diadakan di Brooklyn Barclays Center, New York.

 Lady Gaga membuat persembahan pembukaan di 2013 MTV Video Music Awards di Barclays Center. .


Selena Gomez mencuri tumpuan penonton dan menjadi bintang di acara 'Red Carpet'.



Sebentar tadi, baru sahaja selesai majlis anugerah MTV Video Music yang diadakan di Brooklyn Barclays Center, New York.

Anugerah tahunan anjuran MTV ini turut disajikan dengan persembahan hebat barisan artis terkenal seperti Lady Gaga, One Direction, Justin Timberlake dan bekas ahli-ahli kumpulannya, 'NSync yang terdiri daripada Chris Kirkpatrick, Joey Fatone, JC Chasez and Lance Bass of 'N Sync.

Antara pemenang terbesar pada tahun ini ialah Justin Timberlake yang telah meraih Anugerah Video Muzik Terbaik Tahun Ini dan Video Editing Terbaik menerusi lagu hitsnya, Mirrors.

Selain itu, penyanyi itu berjaya menggenggam Anugerah Khas Michael Jackson selain lagu Suit & Tie nyanyian duetnya bersama Jay-Z berjyaa memenangi Anugerah Pengarahan Terbaik.

Penyanyi hip hop Macklemore juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya menggondol dengan tiga trofi iaitu Video Hip Hop Terbaik, Sinematografi Terbaik menerusi lagu Cant Hold Us dan trofi Video Dengan Mesej Sosial Terbaik 'Same Love'.

Di bawah merupakan senarai penuh pemenang MTV Video Music Awards tahun ini.

VIDEO OF THE YEAR: Justin Timberlake, “Mirrors”
MICHAEL JACKSON VIDEO VANGUARD AWARD: Justin Timberlake
BEST FEMALE VIDEO: Taylor Swift, “I Knew You Were Trouble”
BEST MALE VIDEO: Bruno Mars, “Locked Out Of Heaven”
BEST COLLABORATION: Pink & Nate Reuss, “Just Give Me A Reason”
BEST ROCK VIDEO: 30 Seconds To Mars, “Up In The Air”
BEST HIP HOP VIDEO: Macklemore & Ryan Lewis, “Can’t Hold Us”
BEST POP VIDEO: Selena Gomez, “Come & Get It”
BEST VIDEO WITH A SOCIAL MESSAGE: Macklemore & Ryan Lewis, “Same Love”
BEST SONG OF THE SUMMER: One Direction, “Best Song Ever”
ARTIST TO WATCH: Austin Mahone
BEST DIRECTION: Justin Timberlake, “Suit & Tie” (Director: David Fincher)
BEST EDITING: Justin Timberlake, “Mirrors”
BEST VISUAL EFFECTS: Capital Cities, “Safe And Sound”
BEST CHOREOGRAPHY: Bruno Mars, “Treasure”
BEST ART DIRECTION: Janelle Monae & Erykah Badu, “Q.U.E.E.N.”
BEST CINEMATOGRAPHY: Macklemore & Ryan Lewis, “Can’t Hold Us”

Wednesday, August 21, 2013

Uqasha Senrose Mengaku Diraba “Pengurus Peribadinya”

Uqasha Senrose bersama kekasihnya, Pekin.  


  Aktres yang sedang meningkat naik namanya, Uqasha Senrose mengakui dia pernah diraba pengurus peribadinya (PA) sendiri ketika sedang tidur. Kesal dengan perbuatan terkutuk individu tersebut, teraju utama filem Paku Pontianak ini lantas membuat keputusan memecat pengurus peribadinya itu serta merta.

Menurut Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 21, dia sama sekali tidak menyangka bekas pengurusnya yang juga seorang pengkid itu tergamak mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepada individu berkenaan.

“Tak perlulah saya sebut namanya. Perkara tu berlaku ketika saya di set penggambaran drama Ratu Suhada, baru-baru ini. Ketika tu saya sedang tidur di dalam kereta. Ketika tu lah dia meraba saya. Tapi nasib baik lah saya cepat tersedar.

“Selepas kejadian tu saya terus pecat dia sebab saya memang tak selesa dengan dia. Sebenarnya saya baru saja kenal dia. Masa mula-mula kenal, dia okay saja. Jadi saya percaya dan terus ambil dia bekerja dengan saya. Lagipun sebelum ini dia punya pengalaman menguruskan beberapa artis lain”, kata Uqasha ketika ditemui pada sesi preview filem Paku Pontianak, di Sunway Pyramid, malam tadi.

Enggan memperbesar-besarkan perkara tersebut, Uqasha tidak membuat lapoan polis berhubung hal itu.

Uqasha turut memberitahu sehingga kini dia masih belum mencari pengurus peribadinya yang baru kerana buat masa ini dia selesa menyerahkan segala urusan yang melibatkan aktiviti seninya kepada pihak pengurusan yang dinaungi iaitu MIG.

Beri Pekin Tempoh Setahun

Dalam pada itu diminta mengulas mengenai laporan media dia kononnya telah menerima rombongan merisik oleh pihak keluarga kekasihnya pelakon Pekin Ibrahim, gadis kacukan Kelantan-Siam ini tanpa berselindung mengesahkan hal tersebut.

“Ya, dia (Pekin) datang hantar rombongan merisik pada bulan Julai lalu. Hanya merisik dan kami tak bertunang. Tapi untuk ke arah perkahwinan tu rasanya bukan tahun ni sebab buat masa sekarang masing-masing sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Dalam masa setahun ni kami beri tempoh pada diri masing-masing untuk cari duit dan mengenali lebih lagi hati budi antara satu sama lain”, tuturnya.

Uqasha dan Pekin dikatakan mula menjalinkan hubungan intim ketika mereka berdua menjalani penggambaran filem Paku Pontianak sekitar Februari lalu. Kisah cinta pasangan ini mula didedahkan apabila gambar percutian mereka berdua di Phuket tersebar di internet beberapa bulan lepas.

Biarpun baru lebih kurang tujuh bulan mengenali Pekin namun kata Uqasha keperibadian Pekin yang tegas tapi dalam masa sama seorang yang budiman membuatkan hatinya tertarik pada pelakon filem Bunohan itu.

“Dia seorang yang genius, tegas tapi dalam masa sama dia ada kelembutan dalam dirinya dan dia juga seorang yang peramah. Dia rapat dengan keluarga saya”, katanya.

Perkembangan lain, selain muncul menerusi filem Paku Pontianak yang akan ditayangkan pada 22 Ogos ini, Uqasha juga baru selesai mejalani penggambaran drama bersiri Ratu Suhada dan akan ditayangkan di saluran RTM, tidak lama lagi. – Malaysian Digest

Tuesday, August 20, 2013

Raja Ema Enggan Memikirkan Soal Teman Hidup

Raja Ema  

 
DUA kali gagal berumah tangga, membuatkan penyanyi, pelakon terkenal pada era 1980-an, Raja Ema Raja Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Raja Ema, 45, enggan lagi memikirkan soal berteman hidup. 

Bukannya serik untuk berkahwin, jauh sekali menutup pintu hati kepada kaum Adam, buat masa ini, Raja Ema lebih selesa hidup solo meskipun keinginan untuk berumah tangga masih ada dalam hatinya.

"Bagi saya bukan senang untuk mencari pasangan yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam setiap hubungan yang terjalin.

"Tapi yang yang boleh saya katakan, buat masa ini saya lebih selesa bersama anak-anak yang sentiasa berada di sisi memberi semangat untuk saya terus mengorak langkah sehingga ke hari ini.

"Saya sudah mengenali pahit manis berumah tangga, soal perkahwinan bukanlah faktor utama saya buat masa ini, jika tiada pun dia bukan masalah yang besar bagi saya," kata yang memiliki dua anak lelaki, Putera Amar, 19, dan Putera Alqasha, 17, hasil perkahwinan bersama penyanyi Sheqal.


Raja Ema berkata, dalam usia yang semakin meningkat, perkahwinan bukan lagi menjadi keutamaan. Malah gelaran ibu tunggal juga tidak pernah memberi bebanan buatnya.

"Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Tetapi jika ada jodoh, saya tak akan tolak," katanya.

Rahsia awet muda

Meskipun usianya hampir mencecah separuh abad, namun penyanyi yang pernah popular dengan lagu Jejaka Idaman dan Angan-Angan ini masih kelihatan awet muda.

Tidak berselindung, Raja Ema mengakui dia menjalani rawatan kosmetik ‘thread lift’ bagi mengekalkan kecantikan dan awet muda.

Menurutnya, rawatan 'thread lift' mampu menegangkan kulit wajah tanpa sebarang kemudaratan.

"Dalam usia saya yang semakin meningkat ini, penampilan perlu dijaga, bila memasuki peringkat umur macam saya ini, kulit-kulit memang tidak tegang macam zaman muda dahulu.

"Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan tersebut, tujuan sebenar saya membuat rawatan ini bukan untuk mengubah bentuk muka sebaliknya menjaganya agar ianya kelihatan lebih baik.

"Rawatan ini, tidak melakukan sebarang pembedahan cuma ianya adalah prosedur yang normal dan tiada sebarang penggunaan botoks dan sebagainya," katanya.
Tambahnya, bukan menjadi halangan bagi seseorang untuk menjaga penampilan dengan lebih baik, tapi perlu mengikut cara yang betul.



 Raja Ema bersama albumnya.



 
Kembali dengan Warna Hatiku

Akui rindu untuk kembali menyanyi, Raja Ema akhirnya kembali dengan single terbaharu, Warna Hatiku setelah 24 tahun menyepi tanpa sebarang album.  Lagu duetnya bersama RJ yang popular dengan lagu, Teman Pengganti bersama Black itu turut mendapat sambutan baik oleh peminat muzik dan sering diputarkan radio tempatan.

"Alhamdulillah, kini saya telah mengeluarkan sebuah single terbaru setelah sekian lama saya tidak muncul mewarnai seni hiburan.
"Saya berasa bersyukur apabila hasrat untuk kembali dalam dunia seni akhirnya tercapai menerusi single Warna Hatiku yang akan dimuatkan dalam album Pertemuan Seribu Kenangan.

"Pada awalnya, saya ingin menjadikan bidang lakonan dan nyanyian ini sebagai kerja sambilan, namun atas dorongan semua pihak membuatkan saya lebih bersemangat
untuk meneruskan karier ini," katanya yang kali terakhir tampil dengan lagu, Tidakkah Aku Menyintaimu pada 1989.

Mengulas lanjut mengenai lagu tersebut, Raja Ema berkata, lirik lagu itu digarap mengikut kesesuaian muzik dan selera pendengar masa kini.

  
Raja Ema dan RJ.



"Kali ini saya ingin memberi kelainan tersendiri dengan alunan rentak rap bersama RJ. Namun rentaknya masih dikekalkan mengikut kesesuaian vokal saya.

"Untuk album penuh, saya masih mengekalkan lagu yang lama seperti Jejaka Idaman, Pertemuan Ini, Kekasih Sepi, Angan-angan, Sebuah Catatan Remaja dan Mentari Korea," katanya yang selesa berkolaborasi dengan RJ.

Kembali aktif dalam bidang seni, aktres yang pernah membintangi filem Sayang, Mawar Merah, Boss, Queen Control dan Cikgu Romantik ini meluahkan rasa syukur kerana ia mendapat sambutan positif daripada peminatnya.

"Saya rasa gembira walaupun dah berpuluh tahun saya tidak muncul di kaca televisyen, namun lakonan saya masih diterima orang ramai.

"Saya juga bersyukur anak-anak dan keluarga tidak pernah menghalang saya meneruskan karier ini, malah mereka juga menjadi penguat semangat untuk saya hingga ke hari ini," katanya yang semakin banyak menerima tawaran lakonan.


OLEH NOR RAIDAH AWANG

Wednesday, August 14, 2013

Kumpulan Search Tidak Pedulikan Yazid Yang Terlantar Sakit??

Kumpulan Search. Dari kiri; Yazid, Nasir, Kid dan Amy.

 

PETALING JAYA: Kumpulan Search menyifatkan tuduhan pemain dram kumpulan berkenaan iaitu Yazid Ahmad, 51, yang kecewa kerana tidak dipedulikan oleh ahli-ahlinya selepas terlantar sakit hanyalah kata-kata bersifat emosi.

Pemain besnya, Nasir Daud berkata, ahli-ahli Search tidak pernah mengabaikan Yazid tetapi keadaan yang menyebabkan mereka terlewat melawatnya di hospital.

"Sebenarnya dia sudah memberitahu saya yang dia dimasukkan ke wad di sebuah hospital di Johor pada minggu lalu. Tetapi masa itu kami tak sempat nak melawat, maklumlah masing-masing tengah sibuk dengan urusan keluarga dan Hari Raya. Saya pula berada di Mersing (Johor).

"Kemudian semalam (Rabu), saya hubunginya untuk melawat, dia pula kata sudah berada di HKL (Hospital Kuala Lumpur). Dan kami ada berborak bercerita tentang hal-hal kerja. Dia tak ada pula bercakap tentang rasa kecewanya itu,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Nasir diminta mengulas luahan Yazid dalam sebuah akhbar pada Khamis yang kecewa apabila ahli-ahli Search tidak melawatnya yang sedang dirawat di HKL akibat menderita sakit buah pinggang.



Yazid (kanan) disamping rakan-rakan yang melawatnya di HKL pada Rabu.
 

Yazid dilaporkan berkata, ketika sakit, beliau seperti dibuang ke tepi longkang.

Pada Sabtu lalu Yazid dikatakan rebah ketika umat Islam menyambut Syawal ketiga di rumah keluarganya di Kluang, Johor dan terpaksa dipindahkan dari Hospital Johor Bahru ke HKL pada hari yang sama.

Dalam pada itu Nasir berkata, kenyataan yang dibuat Yazid itu mungkin ketika dia sedang beremosi akibat tekanan daripada sakit berkenaan.

Bagaimanapun Nasir tidak berasa hati dengan luahan rakannya itu kerana sudah memahami sifat Yazid sejak sekian lama.

"Mungkin ketika wartawan bertanya, fikirannya terganggu. Maka terkeluarlah kata-kata yang kononnya kami ini tidak prihatin dengannya. Biasalah, orang sakit senang beremosi," ujarnya.

Yazid yang menghidapi penyakit buah pinggang dan darah tinggi pernah dirawat di Hospital Ampang tiga tahun lalu dan kini terpaksa menjalani rawatan dialisis akibat penyakit berkenaan.

Sementara itu, vokalisnya, Amy dalam satu kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) berkata, dia dan keluarga akan melawat Yazid selepas agenda lawatan cuti Hari raya mereka pada minggu ini selesai.

Amy berkata, ketika Yazid dimasukkan ke hospital, dia sedang sibuk berhari raya dan sudah tentu tidak berkesempatan melawat rakannya itu.

"Semasa dia menghubungi saya yang dia dimasukkan ke wad, saya dan keluarga baru balik dari Kulim, Kedah dan sekarang ini saya berada di Pulau Pinang membawa anak-anak bercuti sehingga hujung minggu ini.

"Insya-Allah kami akan melawatnya dan kami tidak pernah membuang Yazid yang sudah pun menjadi ahli keluarga sendiri," ujarnya.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK


Friday, August 9, 2013

Panas!! Aidil Zafuan Ceraikan Rita Rudaini Menerusi SMS


    

Konflik rumah tangga antara aktres Rita Rudaini dan suaminya Aidil Zafuan yang sekian lama berlarutan, kini dikhabarkan sudah berakhir.

Pemain bola sepak kebangsaan itu atau nama sebenarnya Mohammad Aidil Zafuan Abdul Razak dilaporkan telah menceraikan Rita dengan talak satu menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Tidak pula dinyatakan bila dan kenapa Aidil Zafuan mengambil tindakan drastik sebegitu terhadap Rita Rudaini sedangkan kes rumahtangga mereka masih berjalan di mahkamah.

Laporan Berita Harian hari ini menyebut yang Rita Rudaini mengesahkan menerima kiriman SMS daripada Aidil Zafuan petang semalam selepas berlaku perang SMS antara mereka sebelum itu. Kejadian berlaku pada petang Ahad (semalam) sebelum waktu berbuka.

Rita Rudaini turut mendedahkan yang antara butiran SMS yang diterima dari Aidil Zafuan bertulis “Aku ceraikan kau talak satu”.

“Selepas hampir dua tahun kes penceraian kami berdua berlangsung di mahkamah, akhirnya hari ini (semalam) Aidil menceraikan saya dengan talak satu menerusi SMS,” ujar Rita Rudaini.

“Saya perlu terima keputusan ini dengan hati yang terbuka hanya beberapa jam sebelum masuk waktu berbuka. Kini segala galanya sudah jelas, Aidil akhirnya menceraikan saya”

“Bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan dan saya perlu lebih tabah,” tambahnya lagi yang kini berada di Perlis untuk menyambut Aidilfitri.

Semalam, Rita Rudaini menerusi Berita Harian meluahkan rasa bengang terhadap sikap Aidil Zafuan yang mempunyai kini hubungan sulit dengan seorang wanita bernama Zarema.

“Bagi saya kecurangan Aidil sangat memalukan saya dan anak anak. Zarema pula memang suka cari publisiti murahan, dia memang nak orang tahu ketika ini dia keluar dengan Aidil.

“Saya sebenarnya nak muntah membaca atau melihat gambar Aidil keluar dengan perempuan lain. Secara jujur saya sedih dengan kehidupan Aidil hari ini, tak ada siapa yang membimbingnya”, ujar Rita Rudaini.


Friday, August 2, 2013

Gambar Terbaru Zahrah Rania, Anak Jimmy Shanley


 
Diam tak diam anak perempuan Jimmy Shanley, Zahrah Rania Shanley sudah pun berusia dua tahun.

Walaupun jodoh di antara Jimmy dan bekas isterinya Nursuhaila Suhaimy tidak berpanjangan namun pelakon dan pengacara ini tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah kepada puteri tunggalnya itu.





Baru-baru ini, Jimmy ada berkongsi gambar terbaru permata hatinya itu di laman Twitternya dan Zahrah kelihatan semakin comel persis wajah bapanya.

Diharapkan semoga anak Jimmy membesar dengan bijak dan sihat serta menjadi anak yang solehah kepada kedua ibu bapanya.

Simon Cowell Hamilkan Isteri Kawan Baiknya Sendiri

MESRA..Simon Cowell dan Lauren


London – Pengasas siri X Factor, Simon Cowell dilapor akan menjadi bapa kepada bayi isteri rakan baiknya, jutawan pemilik kasino, Andrew Silverman.

Silverman memfailkan tuntutan cerai daripada isterinya, Lauren awal bulan lalu, tetapi tidak diketahui sama ada dia melakukan demikian selepas mendapat tahu isterinya hamil dengan anak Cowell.

Dia yang diwakili peguam keluarga Manhattan Cohen Goldstein memfailkan tuntutan cerai pada 24 Julai lalu.

Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki, Adam, 7, hasil daripada perkahwinan mereka.



AKSI mesra Cowell (baring) dan Lauren ketika bercuti di Caribbean sambil diperhatikan Silverman, Januari tahun lalu.
 

Sebelum ini ada gambar menunjukkan aksi mesra Cowell, 53, bersama Lauren, 36, ketika bercuti di Caribbean pada Januari tahun lalu walaupun Silverman turut menyertai percutian itu dan berada tidak jauh dari mereka.

Sumber yang rapat dengan Cowell sebelum ini pernah berkata, mogul muzik itu tidak ingin mempunyai anak.

Sumber itu juga berkata, kehamilan terbabit tidak dirancang dan Cowell benar-benar terkejut.

Bagaimanapun Cowell dikatakan dapat menerima kenyataan bahawa bayi yang bakal lahir itu adalah anaknya.

Lauren dikatakan hamil 1o minggu. Publisiti yang mengejutkan itu muncul hanya beberapa minggu sebelum bermulanya musim baru siri X Factor AS September depan.

Lauren yang menyerupai wajah bekas tunangnya Mezhgan Hussainy dikatakan sudah berkawan lebih lima tahun.

Cowell kini dikatakan sibuk dengan kes hartanya bernilai £225 juta (RM1.1 bilion), yang pastinya cukup untuk menyara anak yang bakal lahir itu. – Agensi

Thursday, August 1, 2013

Benjy Sah Ceraikan Isterinya Buat Kali Kedua

 Gambar Benjy dan Stephanie bersama bapa Benjy sewaktu diluar mahkamah rendah Syariah, Kuala Lumpur.

 

Pelakon drama, Benjy menceraikan isterinya buat kali kedua, Safiyya Stephanie Kar Leng Lee, 30, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur, hari ini.

Lafaz dibuat dihadapan Hakim Khairul Azwadi Mohamed Nor pada jam 9.40 pagi selepas kedua-keduanya bersetuju untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.

Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 34, dan Safiya dilihat tenang sejurus lafaz cerai dibuat.

Sebelum itu hakim telah meminta kedua-duanya saling bersalaman dan bermaafan. Benjy juga dilihat sempat mencium dahi Safiya buat kali terakhir.

Mahkamah telah menyabitkan lafaz cerai itu sebagai sah dan memerintahkan Safiya untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula hari ini.

Dalam pada itu anak lelaki tunggal dramatis terkenal, Azean Irdawaty ini berkata, dia bersyukur akhirnya segala telah selesai dan dia akan meneruskan kehidupan barunya selepas ini.

Benjy turut menyatakan punca perceraian mereka adalah disebabkan tidak sehaluan lagi namun mereka masih berkawan baik.

"Tak ada apa-apa yang boleh saya katakan lagi. Saya akan teruskan kehidupan baru saya selepas ini. Allhamdulillah semuanya telah selesai.

"Kalau hari sekolah, Firdaus dengan ibunya, bila cuti dia dengan saya. Atau kadang-kadang kalau rindu, saya datang jumpa dia.

"Kami bercerai secara baik kerana dah tak sehaluan lagi tapi kami masih mempunyai hubungan sebagai kawan baik dan akan menjaga anak kami, Firdaus secara bergilir-gilir", katanya ketika ditemui diluar dewan mahkamah.


Benjy menceraikan isterinya buat kali kedua ketika dirinya bergelut dengan kes dadah.

 
Pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Cintaku Saerah ini berkahwin dengan Safiya Stephanie Kar Leng Lee yang merupakan seorang mualaf pada 9 Februari 2004. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Firdaus Juan Benjamin yang kini berusia 7 tahun.

Untuk rekod, Benjy dan Safiya pernah bercerai pada 7 Julai 2008 dengan talak satu dan kemudian pasangan ini telah merujuk semula pada hari yang sama.

Benjy juga sebelum ini pernah didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram pada Mac, 2010 dan ditahan selama dua tahun di penjara.

Baru-baru ini Benjy sekali lagi didakwa atas kesalahan menyalahguna dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa pada 26 Jun lalu.


- mD